Halaman

Pengikut

Rabu, 20 Oktober 2010

Dakwah Fardiyah...



Kita dapat perhatikan, bahawa ada dua dalil yang boleh menjadi sumber rujukan kita tentang mengapa dakwah fardiyyah ini penting, Pertama adalah dalil daripada al-Quran, dalam surah al-fussilat ayat 33 berbunyi:

 “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada jalan Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata ; Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”.

Begitu juga dalam hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Al Sahih menyebutkan; 

“Barangsiapa menunjukkan orang kepada kebaikan ia mendapatkan pahala sebagaimana orang yang mengerjakannya”.

Akhlak Dakwah Fardiyyah

Selaras dengan kepentingan dakwah fardiyyah yang juga menyumbang kepada kejayaan dakwah islam, maka kita harus juga melihat kepada ciri-ciri yang boleh membawa kepada kejayaan usha dakwah fardiyah ini. Disini digariskan cirri-ciri yang boleh dijadikan panduan yang sepatutnya ada pada individu-individu yang mahu menjalankan dakwah secara fardiyyah.

Antaranya:

Pertama : Uswah dan Qudwah, maknanya menjadi teladan kepada orang lain. Ciri uswah dan qudwah ini sangat penting kerana ianya menjadi contoh yang utama dalam memastikan misi dan visi dakwah berjaya menarik orang kepada usaha tersebut. Kita lihat bagaimana para sahabat yang menjadi contoh dan uswah,turut menjadi tarikan kepada orang lain untuk memasuki Islam. Begitu juga kita sebagai individu muslim, contoh ini bermakna ianya harus tergambar sebagaimana kata-kata dan perbuatan, gandingan antara uswah dan qudwah.

Kedua : Ikhlas seluruh tujuan dan gerak kerja dakwah samada fardiyyah mahupun jamaah haruslah digariskan secara besar dengan misi ikhlas kerana Allah Taala. Misi ikhlas ini tidak boleh dipinggirkan daripada sanubari para pendakwah kerana dengan keikhlasan ini akan membawa kepada kekuatan dan kebenaran dakwah. Tanpa ikhlas akan membawa kepada ketidakjujuran dalam berdakwah. Akan timbul perasaan cepat putus asa dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja. Firman Allah dalam surah al-An’am  ; “Sesungguhnya solat ku, ibadatku hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah , tuhan semesta alam”

Ketiga : sabar dan ihtisab, maknanya dalam dakwah individu pastinya akan menghadapi pelbagai dugaan samada kecil atau besar, justeru para pendakwah harus menyediakan diri dengan kesabaran yang tinggi. Ihtisab, maknanya mengharapkan pertolongan Allah. Ini kerana kadangkala usaha dan ikhtiar kita yang dirancang kadangkala tidak mampu kita lakukan dek kerana hubungan dengan Allah yang masih cetek. Firman Allah dalam surah al-Ahqaf ayat 35 : “Bersabarlah sebagaimana kesabaran para ulul azmi daripada para rasul”.

Keempat : pengorbanan, jiwa berkorban harus dibentuk agar usaha dakwah akan dapat disuburkan dalam jiwa para dai. Kekuatan yang ada dalam jiwa para sahabat nabi semasa melakukan dakwah antara lain adalah kekuatan jiwa berkorban semata-mata kerana Allah samada berkorban, harta, jiwa, wang ringgit dan sebagainya. Untuk kita sebagai pendakwah muda, usaha ini tidak akan berjaya kalau kita hanya mementingkan diri sahaja. Percayalah bahawa berkorban ini seumpama menyemai benih yang mana hasilnya akan kita tuai dihadapan Allah Taala kelak.

Kelima : berinteraksi dengan pelbagai orang, janganlah sampai seorang daie yang baik itu menghabiskan masa menumpu kepada sesetengah pihak sahaja. Membuka ruang dakwah kepada pihak-pihak yang lain juga perlu bagi memastikan masa tidak dihabiskan disitu sahaja. Pengharapan yang tinggi juga tidak wajar dibuat kerana peranan kita sebagai daie adalah sebagai penyeru bukan penentu kepada kejayaan hasil daripada usaha kita selama ini.

Keenam : Antisipasif dengan kegagalan dakwah, sebagai daie yang berjiwa besar dia tidak harus berasa kecewa apabila dakwah yang dilakukan tidak mendapat respon yang positif daripada para mad’unya. Dalam jiwa daie itu harus ada perasaan bahawa hidayah itu datang daripada Allah Taala bukan daripada tangan-tangan kita.

Ketujuh : menjaga hak-hak ukhuwwah Islamiah sesama madun yang kita dihadapi. Sebagai daie mereka haruslah menjaga hubungan yang baik dengan sesiapa sahaja agar kredibiliti yang ada tidak akan terjejas akibat daripada kesilapan yang dilakukan. Sikap berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara itu perlu agar tindakan tidak akan sia-sia. Yang penting para da’ie harus peka kepada perubahan agar mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara yang menjejaskan usaha dakwah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan