Halaman

Pengikut

Rabu, 6 April 2011

Pendirian Ikhwãn Muslimin terhadap Orang Lain...


Dalam catitan Al Ustãdh Hassan AI-Bannã rahimahuLlãh di bawah suatu tajuk kecil         (موقف الإخوان المسلمين من غيرهم)— Pendirian Ikhwãn Muslimin terhadap Orang Lain — beliau telah menyebutkan seperti berikut:


1. (Setiap Al akh Muslim mestilah mengetahui akan matlamatnya dengan jelas, dan dengan itu menjadikannya sebagai garis penentu yang tunggal di antaranya dan manusia-manusia lain)

Kandungan ini menjelaskan bahawa kita berkewajipan melahirkan orang-orang Islam yang dapat membuat pertimbangan (penilaian) terhadap semua perkara dengan nilai Islam, serta dapat pula bertindak melalui pertimbangan ini. Sebarang kegagalan di dalam persoalan ini akan membawa kepada hilangnya kriteria-kriteria kejayaan.

2. (Setiap program yang tidak menyokong Islam dan tidak ditegakkan di atas asas-asas umumnya tidak akan membawa kepada kejayaan)

Inilah suatu pendirian umum yang sama sekali tidak dapat kita mengelakkan diri daripadanya. Sesungguhnya setiap sistem yang tidak berasaskan kepada Islam atau yang memusuhi Islam dan tidak mendokong ke arah pencapaiannya adalah suatu sistem yang tidak membawa kepada apa-apa selain kepada kegagalan, meskipun ia diperindahkan atau dipropagandakan dan sebagainya. Nah, ini dia percubaan-percubaan sekularism di atas bumi kita yang sentiasa membawa negara-negara kita ke jurang kehancuran ekonomi dan politik serta kelemahan di bidang ketenteraan. Oleh itu, adalah mustahil bagi kita untuk memberikan sanjungan kepada mana-mana sistem selain dari sistem Islam atau membuat tanggapan tentang kemungkinan kejayaannya.

3. (Anggota Ikhwan akan memberi sokongan kepada setiap pertubuhan yang dengan usahanya sendiri (pertubuhan tersebut) telah melaksanakan sebahagian daripada program-program Ikhwanul Muslimin)

4. (Ikhwanul Muslimin mestilah mempastikan bahawa setiap sokongan yang diberikan kepada mana-mana pertubuhan tidak bertentangan dengan matlamat mereka pada bila-bila masa pun)

Inilah dua kandungan yang merupakan sikap kita terhadap setiap pertubuhan yang ada. Di sana terdapat pertubuhan-pertubuhan yang memerangi kita; terhadap pertubuhan-pertubuhan ini, akan kita berikan tentangan yang setimpal dengan pendirian mereka terhadap kita; biarpun ianya dinamakan pertubuhan Islam atau yang bukan Islam. Boleh jadi kita akan memaafkan mereka. Adapun pertubuhan-pertubuhan yang telah melaksanakan sebahagian daripada matlamat-matlamat kita, dan sekiranya kita berpuas hati yang mereka tidak menentang matlamat kita pada bila-bila masa pun maka kepada mereka kita berikan sokongan dari sudut ini. Misalnya; terdapat beberapa golongan syeikh yang melaksanakan program ‘ilmu dan tarbiyyah yang mana mereka ini sebenarnya telah melaksanakan sebahagian daripada matlamat-matlamat kita. Sekiranya kita yakin yang mereka ini tidak menentang cita-cita kita, maka kepada mereka kita berikan sokongan dari sudut tersebut. Tetapi sebaliknya jika mereka menentang matlamat dan cita-cita kita, kita tidak akan memberikan sokongan kita dan kita tidak akan mengarahkan anggota-anggota kita kepada mereka. Katakanlah pendapat sebegini pada mana-mana pertubuhan yang ada.

5. (Pertubuhan-pertubuhan yang berfaedah hendaklah didorongkan kepada suatu matlamat dengan memperkuatkannya dan bukan dengan melemahkannya)

Inilah prinsip umum yang merupakan sebahagian besar daripada strategi kita; di mana setiap pertubuhan yang bermanfa’at yang telah melaksanakan sebahagian daripada matlamat kita baik di peringkat tempatan atau di peringkat antarabangsa serta tidak pula menentang matlamat kita pada bila-bila masa, maka pertubuhan inilah yang hendaknya kita juruskan kepada matlamatnya dengan cara memperkuatkanya dan bukan melemahkannya. Misalnya Jama’ah Da’wah dan Tabligh telah banyak memberi khidmat kepada Islam dalam peringkat antarabangsa dan tempatan. Jami’ah yang seumpama ini hendaklah kita menyokongnya dan membantunya dengan menghantarkan sebahagian besar dari anggota-anggota kita ke dalamnya untuk bekerja di dalamnya sebagai individu-individu dan bukan atas nama jamã’ah kita. Hendaklah anggota-anggota ini ber’iltizam dengan jamã’ah itu ketika melakukan kerja dengan segala apa yang dipinta oleh jamaah yang berkenaan.

6. (Ikhwän mengalu-alukan setiap fikrah yang bertujuan untuk menyatu-padukan tenaga orang orang Islam di seluruh muka bumi dan memberikan sokongan kepada fikrah ‘Pan-Islamism’ yang merupakan satu-satunya petanda kebangkitan timur).

Kaedah ini menerangkan suatu asas penting daripada prinsip-prinsip pemikiran kita di mana kita tidak akan menentang sebarang langkah yang boleh membawa kepada perpaduan serta pendekatan sesama orang Islam. Malah kita sangat-sangat mengalu-alukannya, kecualilah sesuatu yang berbentuk ‘masjid dhirar .

7. (Ikhwan Muslimin bersikap ikhIas terhadap setiap pertubuhan IsIam malah berusaha dengan segala jalan untuk memperdekatkan kesemuanya. Dan Ikhwan yakin bahawa saling cinta-mencintai di antara orang-orang Islam merupakan asas yang paling sihat untuk menggerakkan mereka (orang-orang Islam). Ikhwãn menentang setiap pertubuhan yang mencacatkan nama Islam seperti Bahai dan Qadyani)

Kaedah ini adalah diantara asas-asas pembinaan yang terpenting lagi bernilai di dalam strategi umum kita. Kita menentang setiap gerakan yang menentang Islam seperti Bahai dan Qadyaniyyah. Sebaliknya dengan ikhlas kita sentiasa bersama-sama dengan badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan Islam. Oleh itu kesemua badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan Islam tidak dianggap sebagai gerakan yang menentang kita, malah kita mesti berusaha untuk menjadi orang tengah dalam rangka untuk mempertemukan kita dan mereka dengan segala (wasilah) yang mungkin.

Ini membawa kita berdiri di hadapan dengan fikrah ‘front — Islam’ yang satu, serta membawa kita berhadapan dengan fikrah berbilang parti dan berbilang pertubuhan di dalam Islam. Kita percaya bahawa ruh kecintaan di kalangan orang-orang Islam merupakan tapak yang paling sesuai untuk membangunkan mereka. Oleh itu kita mencurahkan kecintaan kita kepada semua orang Islam. Dari prinsip ini, kita dapat menyelami pertubuhan-pertubuhan yang banyak bangun dan tegak di dalam sesebuah negara. Pertubuhan-pertubuhan ini mungkin merupakan parti-parti2 Islam, pertubuhan-pertubuhan kebajikan, atau mungkin merupakan kumpulan-kumpulan
yang menyertai syeikh-syeikh di bidang ‘ilmiyyah atau tarbiyyah atau lain-lain pertubuhan yang terikat dengan ciri-ciri Islam.

Kepada kesemua mereka ini, kita mencurahkan keikhlasan dan kecintaan kita terhadap mereka, dan kita berusaha dengan segala kemampuan yang kita ada untuk memperdekatkan sesama mereka. Inilah jalan kita ke arah melahirkan satu ‘front Islam’ yang bersatu di dalam setiap negeri, dan kita akan berusaha dengan perantaraannya supaya seluruh ummat Islam mempunyai pendirian yang satu terhadap mana-mana isu (persoalan) dengan melupakan kepentingan peribadi, serta hanya berusaha untuk Allah dan kerana Allah semata-mata.

Sekiranya inilah pendirian kita terhadap pertubuhan-pertubuhan Islam, maka inilah juga pendirian kita terhadap setiap individu-individu Muslim; iaitu kita mencurahkan kecintaan yang suci, kerana dengan kecintaan ini akan lahir asas (tapak) untuk membangunkan individu tersebut.

Sebenarnya faktor inilah yang merupakan petanda agung di dalam strategi umum dan khusus kita. Dan dengan ini juga Al-Ustadh Hassan Al-Banna telah meletakkan kita di suatu jalan yang benar di dalam menentukan pendirian kita terhadap orang lain.

p/s : "Kelmarin, hari ini, dan esok!... Kelmarin bagaikan mimpidan fantasi... hari ini adalah nyata dan sahih dan esok pulak adalah sesuatu yang tidak pasti dan samar... hiduplah hari ini untuk esok dan kelmarin adalah dorongan... menyesallah hari ini kerana kelmarin,mungkin esok tiada kesempatan... hari ini tidak seindah kelmarin, tetapi esok pasti ada... kelmarin adalah kenangan, hari ini adalah diri kita dan esok adalah impian..."

Salam Perjuangan buat para Daie Ilallah,
"Bangunan yang kukuh itu itu tidak akan mampu terbina dengan sempurna dengan hanya berbekalkan sebutir pasir, namun andai butiran-butiran pasir itu dihimpun dan disatukan ia akan membentuk sebuah longgokkan pasir, dari satu longgokan pasir itu masih diperlukan  longgokan pasir yang lain untuk mencukupkannya, kemudian air diperlukan untuk mengikat longgokan2 pasir tadi disamping peralatan serta orang yang bertanggungjawab untuk mengadun pasir tersebut sehinggalah ia mampu menjadi satu binaan kukuh."

Persoalannya di mana aku dalam perumpamaan ini?
Aku Hanyalah Sebutir Pasir yang jika dibiarkan akan terbang dibawa angin...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan