Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
- Al-Kahfi: 13-
Dalam sebuah gerakan mahasiswa, pemimpin mahasiswa seharusnya memahami dan mempunyai idealisme perjuangannya. Dalam masa yang sama, idealisme yang ada perlu diterjemahkan dalam dunia aktivisme dengan menggunakan intelektualisme.
Idealisme merujuk pegangan atau prinsip fundamental yang berasaskan dua perkara pokok. Pertama, kecintaan terhadap nilai yang mulia dan murni. Contohnya, kecintaan terhadap kebenaran, keadilan dan keharmonian. Manakala yang kedua ialah kebencian terhadap unsur yang murah, muak dan mual, contohnya, kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kehuru-haraan. Idealisme ini diambil daripada ajaran Islam tentang berbuat makruf dan melarang kemungkaran. Justeru, dapat disimpulkan dari perspektif Islam bahawa Idealisme, Pemimpin Gerakan Mahasiswa Islam haruslah bersandarkan kepada konsep menuju ‘Ubudiyah kepada Allah s.w.t dalam semua aspek kehidupan.
Aktivisme pula ialah proses merealisasikan idealisme. Ini termasuk kebijaksanaan
menerjemah idealisme agar menjadi langkah-langkah atau tindakan-tindakan yang praktikal dalam kerangka yang fleksibel (siyasah Syar’iyyah) berdasarkan situasi dan keperluan yang wujud tetapi tidak menyeleweng dari prinsip idealisme. Di sinilah lahirnya hal ehwal perjuangan seperti kesukarelaan dan pengorbanan. Dalam Islam, ini ditandai oleh konsep berlumba-lumba berbuat kebajikan.
Manakala intelektualisme tidak merujuk menara gading atau gelaran mahasiswa semata-mata . Sebaliknya, ia merujuk penghayatan budaya ilmu yang berasaskan tiga prinsip, iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi; setiap individu sentiasa menuntut, menyebar dan mengembangkan ilmu; dan setiap keputusan dan tindakan dibuat berlandaskan ilmu.
Ketiga-tiga rukun ini perlu diamalkan secara bersepadu dan seimbang. Hanya memiliki idealisme dan aktivisme, tetapi tanpa intelektualisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa bersemangat dan rajin berbuat program, tetapi kerana tidak berbekal ilmu, maka ia tidak tahu bagaimana hendak menghasilkan kemajuan dan keberkesanan yang berganda. Hanya memiliki idealisme dan intelektualisme pula, tetapi tanpa aktivisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa bersemangat dan cerdik, tetapi kerana tidak berbuat apa-apa, maka ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang praktikal dan konkrit. Manakala hanya memiliki aktivisme dan intelektualisme, tetapi tanpa idealisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa rajin dan cerdik, tetapi kerana tidak berprinsip, maka ia boleh dijual-beli.
p/s : Buat diri dan sahabat2 yang bergelar pimpinan Mahasiswa,
Terkadang amat menyedihkan lantaran bilangan kita (pengajian Islam/Mahasiswa Islam) yang ramai tetapi tidak mampu untuk mencipta suasana dikampus bahkan seolah-olah dikuasai suasana. Seharusnya kita melihat ke hadapan dan mendepani cabaran. Sekarang bukan lagi masa untuk manjakan diri dengan ayat2 dan kata2 yang kurang berpijak pada dunia realiti sehingga dengan keegoan diri kita meletakkan kesalahan kepada orang lain.
“Berprinsip Jangan Jumud, Terbuka Jangan Hanyut”
“Fundementalis Dalam Berprinsip, Fleksibel Dalam Bertindak”
Optimis Daie dalam Mendepani Cabaran…
al-Faqir Ilallah,
Ilham al-Khalis
Insan yang masih cetek ilmunya dan masih dangkal pemikirannya,
Belajar dan terus belajar dari guru yang bernama pengalaman dalam kehidupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan